BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS �

Thursday, February 11, 2010

Ajaran Sesat Azhar bin Wahab

PULAU PINANG 11 Feb. – Jabatan Hal Ehwal Agama Pulau Pinang (JHEAPP) hari ini mengesan kegiatan ajaran sesat yang dikenali sebagai ajaran Azhar bin Wahab mula berkembang ke negeri ini dengan berselindung di sebalik pelbagai perniagaan termasuk membuka pusat refleksologi di sini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JHEAPP, Ghazali Saad berkata, jabatannya menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa kumpulan itu membuka sebuah pusat refleksologi yang dikenali sebagai Pusat Rawatan Cinta.

Katanya, dalam proses rawatan mengurut itu, tukang urut yang juga dipercayai ahli kumpulan ajaran sesat itu akan membaca mentera tertentu dan menyebut: “Ya Allah dengan barkat dan karamah guruku Tuan Azhar, sembuhkanlah penyakit...”.

“Kita dapati ajaran mereka mula berkembang dan bergerak secara sulit kerana apabila disoal siasat, pekerja di pusat urut itu tidak mengaku bahawa mereka adalah ahli kumpulan ajaran Azhar bin Wahab,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, Azhar yang menggunakan gelaran sebagai Yang Mulia Raja Azhar ibni Raja Wahab, Presiden Persatuan Kerabat Raja Sakti Kedah, turut menggunakan kanak-kanak berusia antara 8 dan 11 tahun untuk mengutip derma di pusat membeli-belah untuk menjana pendapatannya.

Ghazali berkata, siasatan yang dijalankan oleh jabatannya mendapati kanak-kanak itu meminta derma daripada orang awam kononnya untuk pembinaan sebuah pusat tahfiz di Yan, Kedah dan penderma akan dihadiahkan cakera padat lagu dakwah.

“Cakera padat lagu dakwah kotemporari itu adalah nyanyian S.M. Amin dan Sharly dan kita sedang menyiasat apakah kaitan antara lagu-lagu itu dengan kegiatan ajaran sesat kumpulan berkenaan,” kata beliau.

Katanya, antara percanggahan akidah yang terdapat dalam ajaran Azhar bin Wahab ialah beliau mengaku mengamalkan Aurad Muhammadiah, mengadakan kuliah tertutup untuk ahli dan kakitangan serta mendakwa didampingi oleh ‘Pak Syeikh’ atau wali Allah.

Azhar yang berasal dari Kulim Kedah, pernah mendakwa rohnya berada di Gunung Jerai bersama Wali Songo dan Nabi Khaidir sedang tubuhnya berada di Damansara dan setiap ahlinya diwajibkan bersumpah setia mengikut segala arahan guru dan merahsiakan kegiatan mereka daripada orang ramai.

Beliau juga mendakwa mempunyai bala tentera dan pesawat ghaib, mempunyai masjid jin Gunung Jerai di samping mengaku selalu bermesyuarat dengan golongan jin di gunung-gunung tertentu seperti Gunung Santubung di Sarawak.

Ghazali berkata, selain itu, Azhar juga dikatakan tidak pernah solat Jumaat dan membolehkan sembahyang jamak pada setiap waktu walaupun bukan dalam musafir.

Beliau berkata, orang ramai tidak seharusnya terpengaruh dengan dakwah Azhar kerana dia sebenarnya tidak mempunyai kelulusan agama dan hanya tamat tingkatan tiga dari Sekolah Menengah Padang Serai, Kedah.

Azhar pernah bekerja sebagai pemandu dengan Bank Simpanan Nasional di Kuala Lumpur sebelum beliau menyertai kumpulan Al Arqam dan kemudiannya menyertai kumpulan Al Mansur.

Katanya, JHEAPP sedang mengesan Azhar dan ahli-ahli kumpulan ajaran terbabit dan mereka yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan kumpulan itu diminta menghubungi jabatannya menerusi talian 04-2637200.

Thursday, January 28, 2010

Dr. Musdah Dapat Anugerah Barat kerana Halalkan Lesbian dan Gay


MusdahMulia

Barat nampaknya terus-menerus memberikan pengiktirafan tinggi kepada individu-individu yang memalukan Islam. Kalau sebelum ini mereka menjadikan Salman Rushdie (novelis The Satanic Verses), Aayan Hirsi Ali, wanita Islam Somalia yang telah murtad dan kini berlindung di Belanda serta Talisma Nasrin, penulis Bangladesh yang sedang bermastautin di Amerika Syarikat sebagai wira, kini mereka memberikan pengiktirafan pula kepada seorang lagi individu serupa.

Wirawati baru mereka itu ialah Profesor Dr. Siti Musdah Mulia, seorang pendukung liberal femenisme yang menyokong lesbian, gay serta homoseksual.
Pengiktirafan itu diterima oleh Dr. Siti Musdah pada 26 November lalu dari II Premio Internazionale La Donna Dell' Anno Year 2009 (Anugerah Antarabangsa Wanita 2009), yang diadakan di Saint Vincent, Itali.

Musdah Womenof the year
Prof. Dr. Siti Musdah Mulia sebagai Women of the Year 2009 pada Il Premio Internazionale La Donna Dell `Anno (International Prize for the Woman of the Year) 2009 di Saint-Vincent, Italia.

Dr. Siti Musdah menewaskan dua orang finalis lain, iaitu Aicha Ech Channa dari Maghribi dan Mary Akrami, Afghanistan. Majlis penganugerahan tersebut dihadiri oleh 200 orang tetamu dan wartawan, manakala pihak Kedutaan Besar Indonesia di Rom diwakili oleh Wakil Presiden, Yuwono Agus Putranto.

Untuk rekod, Anugerah Antarabangsa Wanita 2009 itu dibentuk pada 1998 oleh Majlis Serantau Aosta Valley dengan kerjasama Kementerian Luar Itali, Aosta Valley dan Soroptimist International Club Valle d'Aosta. Penghargaan itu turut mendapat pengiktirafan Presiden Itali.

Ketiga-tiga finalis pula dipilih melalui saringan yang ketat daripada 36 orang calon dari 27 buah negara. Semua mereka adalah wanita dan dianggap telah memberikan sumbangan besar kepada wanita di negara masing-masing.

Aicha Ech Channa adalah pengasas Solidarite Femanine (SF) yang ditubuhkan pada 2002 untuk membantu ibu-ibu tunggal di Maghribi. Mary Akrami pula menjalankan pelbagai kegiatan amal untuk mewujudkan pusat-pusat perlindungan membantu wanita Afghanistan mendapatkan pelajaran, kemahiran serta kebolehan membuat keputusan.

Musdah IRI
Dr Musdah Mulia menghuraikan strategi menguasai pilihanraya Indonesia anjuran IRI (International Republican Institute), sebuah yayasan demokrasi, Amerika Syarikat.

Jadi, mengapa Dr. Siti Musdah, 51, dipilih sebagai pemenang, bukannya Aicha atau Mary? Inilah persoalannya. Secara ringkasnya, Dr. Siti Musdah merupakan seorang kaunselor dan penulis keagamaan yang terkenal di Indonesia. Beliau juga merupakan Ketua Lembaga Agama dan Gender serta pernah menjadi Ahli Peneliti Utama Syarahan Keagamaan, Badan Penelitian dan Pengembangan Agama, Indonesia.

Selain itu, Dr. Siti Musdah adalah pensyarah Pemikiran Politik Islam di School of Graduates Studies, Universiti Islam Syarif Hidayatullah, Jakarta, juga Profesor Penyelidik di Institut Kajian Sains Indonesia sejak 2003.

Seperti yang dinyatakan di atas tadi, faktor utama yang sering kali diberikan perhatian oleh Barat untuk memilih pemenang adalah keberanian seseorang itu menentang aliran pemikiran umum serta tradisi. Tetapi, dalam konteks ini, apa yang dipertikaikan ialah, perkara yang ditentang oleh Dr. Siti Musdah adalah juga, antaranya sudah termaktub di dalam al-Quran dan hadis serta disepakati oleh jumhur ulama.

Antaranya, pada 2004 Dr. Musdah telah mengetuai perbincangan Tim Penulis Pembaruan Hukum Islam yang kemudiannya mengeluarkan Counter Legal Draf - Kompilasi Hukum Islam (CLD-KHI) dengan membuat resolusi bahawa:

* Poligami tidak sah dan mesti dinyatakan batal secara undang-undang.

* Perkahwinan yang berbeza agama, termasuk antara Muslimah dan bukan Islam mesti dikira sah.

* Masa 'iddah bukan hanya untuk wanita sahaja, tapi juga untuk laki-laki. Masa 'iddah laki-laki adalah 130 hari.

* Isteri juga boleh menjatuhkan talak.

* Bahagian warisan anak laki-laki dan anak perempuan adalah sama.

Ekoran itu Majlis Ulama Indonesia (MUI) dengan tegas menyelar draf ini sebagai bidaah (penyimpangan) dan taghyir (perubahan) dari hukum Islam. MUI juga menganggap CLD-KHI sebagai tindakan memanipulasi nas-nas al-Quran.

Tindakan Dr. Musdah dan gagasan CLD-KHI itu juga membuatkan Menteri Agama Indonesia ketika itu, Prof. Dr. H. Said Agiel Al Munawar mengecam Tim Penulis Pembaruan Hukum Islam itu agar tidak lagi mengadakan seminar atau kegiatan serupa atas nama Tim Departemen Agama. Beliau juga mengarahkan semua draf CLD-KHI diserahkan kepada Menteri Agama RI.

Tidak habis di situ, Menteri Agama Republik Indonesia yang baru, Maftuh Basyuni kemudiannya segara membatalkan CLD-KHI pada 14 Februari 2005. Dr. Siti Musdah pula sebagai Ketua Tim Penyusun CLD-KHI dilarang menyebarluaskan idea tersebut.

MusdahIrshadManji
Musdah Mulia bersama Irshad Manji, seorang penulis Kanada yang mengkritik Islam yang beridolakan Salman Rushdie


Berhentikah Dr. Musdah? Tentu saja tidak. Beliau bersama kawan-kawannya dengan dibantu oleh The Asia Foundation, sebuah dana tajaan Amerika Syarikat (AS) yang sering mendukung gagasan liberalisme, terus menghebahkan idea liberalnya itu. Malah, Dr. musdah kemudian muncul bersama para penulis buku Fiqh Lintas Agama yang membawa idea bercanggah dengan kesepakatan jumhur ulama.

Pada September 2009, Dr. Siti Musdah muncul lagi sebagai salah seorang tokoh di Indonesia yang menyatakan sokongan supaya pelakon filem lucah Jepun, Maria Ozawa diberikan kebenaran masuk ke Indonesia bagi menjalani penggambaran sebuah filem berjudul Menculik Miyabi.

Bagaimanapun, klimaks kepada pendirian liberal Dr. Musdah ialah apabila beliau mahu dihalalkan sesuatu yang sudah terang dan jelas diharamkan oleh Islam, iaitu homoseksual serta aktiviti lesbian dan gay.

Keberanian Dr. Siti Musdah ini antara lainnya telah beliau nyatakan dalam sebuah perbincangan dengan aktivis-aktivis Islam Liberal Indonesia pada 31 Mac yang lalu di Jakarta. selesai perbincangan itu, Dr. Musdah sebagai ketuanya tampil dengan resolusi yang sangat mengejutkan iaitu: "Homoseksual adalah perkara semula jadi dan ia diciptakan oleh Tuhan, oleh itu ia dibolehkan dalam agama."

Musdah mulia1
Musdah Mulia bersama Paula Dobriansky, Timbalan Setiausaha Negara, Amerika Syarikat. Ketika itu dia mendapat anugerah 'Internationa Women of Courage Award' dari Jabatan Negara, USA.
Musdah_mulia-WM-1b
Musdah Mulia bersama Condoleeza Rice, (ketika itu) Setiausaha Negara Amerika Syarikat


Pengharaman homoseksualiti, dakwa Dr. Musdah, sebenarnya dilakukan oleh ulama-ulama yang berfikiran sempit. Sedangkan, tegas beliau, tiada perbezaan antara lesbian dan bukan lesbian kerana orang yang dipandang mulia oleh Allah adalah yang bertakwa.

"Bercakap tentang takwa, hanya Allah yang layak menghakiminya. Intipati ajaran Islam ialah memanusiakan manusia, hormat menghormati dan menjaga maruah mereka," tegas beliau.

Pandangan Dr. Musdah ini disokong oleh Pengarang Urusan majalah Mata Air, Soffa Ihsan. Soffa turut bersetuju homoseks, gay dan lesbian boleh diamalkan dengan alasan kepelbagaian dan kesamarataan, termasuk dalam soal seks. Untuk itu, kata Soffa, ijtihad baru mesti dilakukan supaya masyarakat tidak beku dalam pemikiran lapuk.

Anehnya, seorang wakil dari Nahdatul Ulama (NU), Nurofiah yang turut menyertai perbincangan itu juga menyatakan sokongannya kepada Dr. Musdah dan homoseksual. Ahli NU itu berhujah, homoseksual diharamkan hanya kerana ia dibantah oleh majoriti anggota masyarakat, bukannya oleh agama.

Seorang lagi peserta perbincangan tersebut pula mengatakan, atas dasar kepelbagaian itu tadi, Indonesia sendiri sebenarnya menerima homoseksualiti. Sebagai contoh, masyarakat Bissu di Makassar bukan setakat menerima homoseksual, malah meletakkan orang itu di tempat yang tinggi. Masyarakat Penorogo juga dikatakannya mengamalkan homoseksual.

Bagaimanapun, pandangan Dr. Musdah dan sahabat-sahabat liberalnya ini disanggah keras oleh golongan agama di Indonesia, terutamanya Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan Hizbut Tahrir Indonesia. Pengerusi MUI, Amir Syarifuddin mengecam dengan berkata, "Ia berdosa. Kami bukan kata orang yang mengamalkan homoseks itu musuh, tetapi kami mahu mereka tahu apa yang mereka buat itu salah di sisi agama."

Pengerusi HIT, Rokhmat pula menggesa mereka yang mengamalkan homoseksual dan yang menyokong perlakuan itu supaya segera bertaubat dan kembali ke jalan yang lurus.

Nahdatul Ulama Indonesia (NU), sebuah pertubuhan yang dianggotai Dr. Musdah turut menjauhkan diri daripada tokoh femenisme berfikiran liberal itu. Pemimpinnya, Abdullah Syamsul Ariffin menempelak dengan berkata, memang Dr. Musdah ahli NU, namun ideanya itu tidak sejalan dan tidak dipersetujui oleh NU. "Soal pemikiran memang hak setiap orang. Jadi dia memiliki pemikiran seperti itu merupakan hak dia," kata Abdullah.

Melihat kepada kelantangan Dr. Siti Musdah itu, Ketua Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia, Dr. Adian Husaini pula tanpa ragu-ragu mengatakan wanita itu memang 'berani'. "Dr. Musdah memang sangat berani dalam menyuarakan pendapatnya, meskipun sangat kontroversi dan mengejutkan banyak pihak."

'Berani' yang dimaksudkan oleh Adian bukanlah berani menyatakan kebenaran untuk menghancurkan kebatilan atau kezaliman, tetapi berani mengubah-ubah hukum Islam sambil menganggap dirinya sebagai mujtahid.

Oleh sebab itu, tidak hairanlah pelbagai penghargaan telah diraih oleh Dr. Musdah atas besarnya sumbangan serta keberanian melawan pemikiran tradisi.

Untuk pengetahuan anda, sebelum penghargaan dari Itali ini, Dr. Musdah pernah menerima Anugerah Wanita Gigih Antarabangsa pada 7 Mac 2007, dari kerajaan Amerika Syarikat. Majlis penganugerahan itu dilakukan sendiri oleh Menteri Luar AS ketika itu, Condolezza Rice di pejabat Kementerian Luar AS, Washington DC.

Apa yang menarik, Dr. Musdah memberitahu, dia hanya mempunyai satu hari sahaja untuk menguruskan visa dan terbang ke negara berkenaan, dan semuanya dapat dibereskan dengan mudah.

Dr. Musdah sememangnya seorang yang berani. Jika tidak berani, tidak mungkin sejurus selepas menerima anugerah II Premio Internazionale La Donna dell 'Anno Year 2009, beliau memberitahu sebuah akhbar Itali bahawa, "Aku tidak takut orang-orang yang menghalangi pekerjaan aku."

Sedikit lagi fakta ringkas Dr. Siti Musdah Mulia

Lahir di Bone, Sulawesi Selatan pada 3 Mac 1958. Beliau adalah Pengerusi Persidangan Agama Untuk Keamanan Indonesia sejak 2007, iaitu sebuah NGO yang mempromosi dialog antara agama, pluralisme dan demokrasi bagi tujuan keamanan.

Dr. Musdah juga merupakan Penasihat Kanan kepada Menteri Hal Ehwal Agama (1999-2007) dan melalui institusi itu, serta atas kapasitinya sebagai Kordinator Pasukan Pemerdanaan Gender, pada 2004 beliau melancarkan The Counter Legal Draf-Kompilasi Hukum Islam (CLD-KHI) yang mencetuskan kontroversi itu.

Selain itu, Dr. Musdah adalah Ketua Bahagian Penyelidik Majlis Ulama Indonesia (MUI) mulai 2000-2005 serta fellow pelawat kepada pelbagai universiti. Sehingga kini beliau telah menulis pelbagai buku, antaranya Muslimah Reformis, Islam Mengkritik Poligami serta Islam dan Inspirasi Kesamaan Gender.



Sunday, January 17, 2010

Gerhana matahari separa





JUMAAT lalu, rakyat Malaysia dapat menyaksikan satu lagi tanda kebesaran Allah dalam mengatur perjalanan alam semesta yang maha luas, iaitu fenomena gerhana matahari separa.

Fenomena alam itu berlaku apabila matahari, bulan serta bumi berada dalam satu garisan dan satah yang dinamakan sebagai penjajaran sempurna.

Secara keseluruhannya, fenomena tersebut dilihat menerusi lintasan selebar 300 kilometer (km) yang merentasi Afrika Tengah, Lautan Hindi dan Asia Timur. Di sesetengah kawasan, mereka dapat menyaksikan gerhana matahari anulus iaitu berbentuk cincin disebabkan bulan tidak menutupi matahari sepenuhnya.

Di Malaysia, banyak pihak telah mengadakan program tertentu seperti pencerapan gerhana di beberapa lokasi sesuai, menganjurkan solat sunat kusuf (gerhana matahari) dan khutbah khas sempena kejadian tersebut.

Apa yang pasti, fenomena gerhana sebenarnya mengajak manusia agar sentiasa merenungi kebesaran Ilahi yang berkuasa melakukan sesuatu mengikut kehendak-Nya.

Penentuan Takwim Hijri

Di samping itu, kejadian gerhana juga mempunyai hubung kait dengan penentuan takwim Hijri (Hijrah) atau kalendar Islam.

Menurut Pensyarah Unit Falak dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman (UDM), Dr. Baharrudin Zainal, geometri fasa bulan bermula dengan keadaan ijtimak, di mana matahari, bulan dan bumi berada dalam satu garisan.

Sementara gerhana matahari pula berlaku apabila ketika ijtimak, matahari, bulan dan bumi berada pada satu satah. Dalam keadaan lain ketika ijtimak, bulan tidak berada pada satah yang sama dengan garisan matahari-bulan.

"Oleh itu, ijtimak yang berlaku berpadanan dengan gerhana matahari, membolehkan manusia menyaksikan fenomena yang berangkai ini, iaitu ijtimak dan gerhana matahari.

"Selepas ijtimak, bulan akan teranjak dari penjajarannya dengan garisan bumi-matahari sekali gus menandakan bermulanya proses pembentukan anak bulan," jelas Dr. Baharrudin dalam satu kiriman e-mel kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ujar beliau lagi, ketika fasa bulan purnama pula, bulan berada pada kedudukan paling luar dalam garisannya dengan matahari dan bumi.

Dalam keadaan yang dinamakan sebagai istiqbal, cahaya matahari jatuh sepenuhnya ke permukaan bulan (fasa bulan purnama). Walau bagaimanapun, sekiranya matahari, bulan dan bumi berada pada satu satah ketika ini (istiqbal), gerhana bulan pula akan berlaku.


BAHARRUDIN ZAINAL


"Bahagian gelap pada permukaan bulan yang dilihat dari bumi sebagai formasi gerhana, sebenarnya ialah bayang-bayang bumi. Maka, gerhana matahari berlaku pada akhir bulan Hijri (pada hari ke 29). Sementara gerhana bulan pula berlaku pada malam bulan purnama (sama ada malam ke-14 atau 15)," katanya.

Berdasarkan rekod, pada awal pagi 1 Januari 2010, (bersamaan 15 Muharam), rakyat Malaysia telah dapat menyaksikan fenomena gerhana bulan separa. Manakala pada 15 Januari lalu, (bersamaan 29 Muharam), berlaku pula gerhana matahari.

Mengikut data pergerakan bulan dan matahari pada tarikh tersebut (15 Januari 2010), kemuncak gerhana matahari anulus berlaku pada pukul UT 07.07 (bersamaan jam 3.07 petang waktu Malaysia).

Ketika itu, bulan dan matahari berada segarisan dengan titik bumi di tengah-tengah Lautan Hindi, pada latitud 01° 37' Utara dan longitud 69° 17' Timur, bersamaan waktu tengah hari bagi tempat ini (berdekatan dengan kepulauan Maldives).

Dengan halaju purata pergerakan bulan 13°/hari berbanding matahari pada kadar 1°/hari, bulan memintas ke timur matahari selepas kemuncak gerhana. Semakin jauh bulan berpisah dengan matahari (atau semakin lama mengikut masa), bahagian bulan yang bercahaya mula kelihatan dari Bumi. Bahagian bercahaya dalam bentuk 'jaluran sabit yang halus' disebut anak bulan.


PENGGUNAAN cermin mata khas digalakkan bagi mengelakkan berlakunya masalah kerosakan mata.


"Dalam konteks penyediaan takwim Hijri, anak bulan yang wujud selepas ijtimak hendaklah disabitkan dengan kenampakannya secara fizikal ataupun dinilai mengikut syarat jangkaan kenampakan (imkannur rukyah).

Berdasarkan keputusan cerapan anak bulan yang dilakukan untuk satu tempoh yang lama, ahli-ahli falak dalam pelbagai tamadun telah menerbitkan model bagi syarat kenampakan tersebut dengan kuantiti tertentu.

"Antara kuantiti yang digunakan untuk membuat justifikasi kenampakan anak bulan ialah umur bulan selepas ijtimak, ketinggiannya di atas ufuk, jarak sendeng kedudukannya dengan matahari atau kadar cahayanya," terang Dr. Baharrudin lagi.

Penetapan Awal Safar 1431H

Oleh itu, berdasarkan senario pada 15 Januari 2010 bersamaan 29 Muharam 1431H, bulan terbit kira-kira lapan minit lebih awal berbanding matahari, menunjukkan selisih kedudukan kedua-dua objek itu.

Selepas kemuncak kejadian gerhana (kira-kira jam 4.30 petang), bulan dan matahari mengalami proses pemisahan bagi pembentukan fasa bulan seterusnya. Menjelang waktu Maghrib di Kuala Terengganu pada jam 7.12 petang, bulan didapati telah melepasi hanya satu bulatan cakera matahari sahaja.

Menurut hitungan, bulan ketika itu (iaitu anak bulan Safar 1431H) berada kurang satu minit sahaja di atas ufuk. Anak bulan dalam keadaan ini disifatkan sebagai 'tidak wujud' kerana tidak memenuhi syarat fizikal kenampakannya.

"Justeru, tarikh 16 Januari 2010 bersamaan 30 Muharam dan 1 Safar 1431H jatuh pada hari Ahad, bersamaan 17 Januari 2010," ujarnya sambil memaklumkan bahawa pada petang 30 Muharam (Sabtu malam Ahad), anak bulan Safar berada setinggi 10½° selama hampir 50 minit di atas ufuk.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia akan mengalami dua gerhana anulus pada 21 Mei 2031 dan 14 Oktober 2042.

Tuesday, January 12, 2010

PENGHIJRAHAN ARTIS JADI CONTOH KEPADA MASYARAKAT

TAIPING, 31 Dis – Sambutan Tahun Baru 2010 bertempat di Taman Tasik Taiping telah diadakan dengan jayanya. Dianggarkan 7000 pengunjung memenuhi tapak sambutan tahun baru tersebut Penganjur program pada kali ini, Sukarelawan Muslim Perak (Semarak) telah berjaya membawa elemen-elemen kesyukuran dan keinsafan terutamanya dalam persembahan artis-artis, selingan tazkirah dan ayat al-Quran serta pengedaran risalah.

Dengan membawa konsep hijrah, beberapa artis jemputan telah hadir untuk membuat persembahan pada malam itu. Antaranya ialah juara Akademi Nasyid TV9, saudara Azhan Atan, vokalis-vokalis kumpulan rock tanah air 80’ an dan 90’ an seperti Renggo (Arrow), Ustaz Radzi (Melissa), Mel (Wings), Blank (Gamma) dan Rahmat (Mega). Walaupun suatu masa dahulu vokalis-vokalis ini hanya dikenali dengan imej mereka sebagai sebuah kumpulan rock, namun pada malam tersebut mereka telah menunjukkan suatu qudwah sebagai insan yang mahu berhijrah ke arah yang lebih baik. Unsur-unsur nasihat turut diselitkan dalam setiap bait lirik yang dinyanyikan.

Pada sebelah petangnya, artis-artis jemputan ini telah mengadakan persembahan sebagai “pemanas badan’ di Taiping Sentral. Pada malam tersebut juga turut diadakan pelancaran Sukarelawan Muslim Perak (Semarak) peringkat negeri. Pengerusi Semarak ketika dihubungi berkata wasilah seperti Semarak ini boleh dilihat sebagai pilihan kepada kita untuk lebih mendekati masyarakat dan menanam sifat suka memberi yang sangat dituntut dalam Islam.

Pengarah projek, Ustaz Akmal berkata, “ Alhamdulillah, pada kali ini kita berjaya mengajak generasi muda dan penduduk Taiping untuk menghayati maksud hijrah bersempena kedatangan tahun baru 2010. Ramai yang salah faham mengenai sambutan tahun baru yang biasanya dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral. Justeru, kami telah memberikan anjakan paradigma untuk meraikan tahun baru dengan cara yang lebih baik dan diredhai Allah”.

“Ada wanita yang tidak bertudung mula berkunjung ke gerai tudung, ada yang sebak

Tepat jam 12.00 malam, majlis penuh gilang-gemilang tersebut telah diakhiri dengan bacaan doa dan diiringi bacaan selawat beramai-ramai oleh pengunjung yang hadir. Pastinya, sambutan tahun baru seperti ini akan terus menjadi medan dakwah bagi melahirkan generasi yang memahami konsep muhasabah dalam Islam dan seterusnya berhijrah menjadi insan yang lebih baik.








Thursday, November 19, 2009

Doa Yassin Terjemahan Bahasa Melayu


Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, pujian yang memenuhi nikmat-nikmat-Nya dan sejajar dengan kurnia tambahan-Nya. Wahai Tuhan kami, kepadaMulah segala pujian sesuai dengan keagungan zat-Mu dan kebesaran kekuasaan-Mu. Ya Allah, cucurkanlah kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda.

Ya Allah, dengan keberkatan surah Yassin serta Al-Quran yang penuh hikmah dan dengan berkat orang yang Engkau pilih untuk diutuskan risalah, kenabian, kewalian dan hidayah ke jalan-Mu yang lurus, juga keberkatan atas segala yang dibawa oleh Jibril daripada-Mu, iaitu Al-Quran dari Yang Maha Kuasa lagi Maha Penyayang.

Kami pohon keberkatan dengan khasiat huruf-huruf dan nama-nama yang sempurna serta dengan apa yang Engkau zahirkan penciptaan dari ayat-ayat keterangan yang nyata. Dan dengan kehalusan serta kelembutan-Mu yang menenangkan setiap keresahan dan membebaskan setiap yang terpenjara.

Wahai Tuhan yang mengalirkan setiap lautan dan semua mata air. Wahai Tuhan pemilikannya hanya antara huruf kaf dan nun(kun) dan yang mengetahui segala sesuatu yang belum berlaku. Kami pohon pada-Mu Ya Allah agar Engkau kurniakan kepada kami rezeki dengan keredhaan–Mu. Jadikanlah kami dan kurniakanlah tempat kami kebahagiaan dan kekayaan.

Engkau mudahkanlah segala hajat dan permintaan kami. Jadikanlah setiap seorang daripada kami di kalangan hamba-hamba-Mu yang sentiasa memperoleh kejayaan dan kemenangan. Janganlah Engkau jadikan kami golongan yang menagih rezeki dari orang lain. Ikatkanlah lidah orang yang memburuk-burukkan kami. Engkau pandulah kami dengan taufik-Mu. Jadikanlah keredhaan-Mu sebagai teman dan sahabat kami.

Anugerahkanlah kami dengan sifat kemulian dan kehebatan serta perkenankanlah doa kami dengan kadar segera. Ya Allah perkenankanlah doa kami. Jadikanlah harapan kami sebagai realiti dan masukkanlah kami ke dalam benteng anugerah-Mu yang kukuh, dengan rahsia firman-Mu: " Sesungguhnya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu hanyalah dengan Dia berfirman kepada perkara itu, jadilah! Maka ia terus jadi. Maka Maha Sucilah Tuhan yang dengan tangan-Nya kekuasaan memiliki dan menguasai segala sesuatu, dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan".

Maha Suci Tuhan yang melepaskan setiap yang terperangkap dalam hutang. Maha Suci Tuhan yang melepaskan setiap yang ditimpa dukacita. Maha Suci Tuhan yang pemilikan-Nya hanya antara huruk kaf dan nun. Maha Suci Tuhan apabila Dia menghendaki sesuatu memadai hanya dengan Dia mengatakan "jadi!" maka jadilah ia.

Wahai Tuhan yang menghilangkan dukacita, hilangkanlah. Wahai yang menghilangkan dukacita, hilangkanlah. Wahai yang menghilangkan dukacita, lenyapkanlah dari kami kesusahan, dukacita dan segala masalah kami. Wahai Tuhan yang Maha Hidup dan berdiri dengan sendiri.

Semoga Allah mencucuri kesejahteraan ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Dan segala pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Tuesday, November 17, 2009

Awas : Jangan dibeli produk ini!!






Awas ! Kepada semua umat Islam, anda dinasihatkan agar jangan membeli atau meminum air kotak "Green Bean Soy Drink", keluaran YEO’S (Yeo Hiap Seng) dikilangkan oleh negara Singapura dan bahan keluaran dari negara Cina. KLIK

Mungkin minum ini tidak dipasarkan di Malaysia, dan hanya ada di pasaran negra Singapura atau negara-negara jiran lainnya, walau bagaimana pun ada kemungkinan minuman ini terlepas juga menyelinap ke dalam Malaysia, maka berhati-hatilah untuk menikmatinya………

Mengikut maklumat, minuman ini mengandungi sumber dari ‘BABI’ seperti yang tertera di gambar (yang bertanda bulatan merah).

Memandangkan pengeluar minuman ringan ini tidak peka dengan pengguna-pengguna Islam yang sememangnya telah terbiasa dengan minuman keluaran jenama YEO’S, maka adalah diingatkan agar umat Islam lebih berhati-hati

Monday, November 16, 2009

SEJARAH RINGKAS 25 RASUL

NABI ADAM A.S

Dikatakan hidup lebih kurang 930 tahun merupakan manusia pertama yang bergelar khalifah Allah s.w.t dimuliakan dan ditinggikan darjatnya menjadi nabi yang pertama. Baginda diutuskan kepada anak cucunya agar menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Maka diantara mereka ada yang taat dan ada pula yang membangkang.

NABI IDRIS A.S

Merupakan keturunan Nabi Sits as. Diutus oleh Allah kepada anak cucu Qabil agar bertaubat dan menyembah Allah SWT, namun mereka terus menerus membangkang perintah Allah s.w.t

NABI NUH A.S

Merupakan keturunan Nabi Idris as. yang diutus Allah kepada kaum kafir. Baginda menyeru supaya semua manusia menyembah Allah, tetapi ajakan Nabi Nuh ditolak, akhirnya orang-orang yang ingkar atau kafir itu tenggelam dalam banjir yang besar.

NABI HUD A.S

Adalah keturunan Yafit bin Nuh, bertempat tinggal di Hadharal Maut Utara. Baginda diutus Allah kepada kaum Aad kerana bangsa itu menyembah patung. Kemudian Nabi Nuh menyuruh mereka supaya menyembah Allah, tetapi mereka ingkar, akhirnya mereka menerima seksaan dengan ditimpa badai dan udara yang sangat dingin selama tujuh hari lapan malam.

NABI SALLEH A.S

Merupakan keturunan Sam bin Nuh yang diutuskan Allah kepada bangsa Tsamud disebelah selatan Palastin. Kebudayaan mereka sudah tinggi tetapi mereka menyembah dewa dan patung, kemudian Nabi Saleh menyuruh kepada mereka agar menyembah Allah, sebahagian besar bangsa Tsamud menolak untuk memeluk agama Allah. Mereka ingkar kepada larangan Nabi Saleh. Pada hari pertama muka mereka berwajah kuning, hari kedua menjadi merah,hari ketiga menjadi hitam, akhirnya mereka disambar petir.

NABI IBRAHIM A.S

Juga keturunan Sam bin Nuh yang diutuskan Allah kepada kaum Namrud di negeri Babilon lebih kurang 4000 tahun sebelum Masehi. Kaum Namrud menyembah berhala bahkan akhirnya Namrud menganggap dirinya sebagai Tuhan. Nabi Ibrahim juga menyerukan ajaran tauhid atau Islam kepada mereka namun mereka tetap ingkar, akhirnya Allah mendatangkan kepada mereka tentera nyamuk sebagai balasan, maka musnahlah kaum yang ingkar. Begitu halnya dengan

NABI LUTH A.S

Adalah bersaudara dengan Nabi Ibrahim yang diutuskan kepada kaumnya di negeri Sadum, supaya kaumnya menyembah Allah SWT, namun mereka ingkar. Allah SWT membalas keingkaran mereka dengan dibalik bumi Sadum sehingga musnah negeri tersebut.

NABI ISMAIL A.S

Adalah anak Nabi Ibrahim melalui perkahwinannya dengan Siti Hajar. Baginda diutus kepada bangsa Arab di negeri Yaman, kerana mereka belum kenal dengan agama tauhid atau Islam. Mereka juga diperintahkan supaya berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji. Baginda mempunyai 12 orang anak lelaki yang seluruhnya disebut dengan Bani Ismail atau Adnanniyun. Dari keturunan inilah lahirnya suku Quraisy yang melahirkan Nabi Muhammad SAW.

NABI ISHAK A.S

Adalah anak kandung Nabi Ibrahim melalui perkahwinan dengan Siti Sarah. Baginda diutus oleh Allah di negeri Kan'an untuk menyembah Allah, mengajarkan tauhid, menyuruh membayar zakat, berpuasa dan menunaikan haji. Nabi Ishaq berkahwin dengan Rifka dan mendapat anak kembar iaitu ish dan Ya'kub. Nabi Ishaq wafat dalam usia 170 tahun dan dimakamkan di Baitul Maqdis daerah Palastin.

NABI YAAKUB A.S

Diutus oleh Allah SWT di negeri Kan'an kerana penduduknya telah ramai menyembah berhala. Nabi Ya'kub mengajar kaumnya supaya menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Baginda wafat dalam usia 148 tahun dan beliau mempunyai 12 orang anak lelaki.

NABI YUSSUF A.S

Anak Nabi Ya'kub as yang diutus sebagai nabi kepada bangsa Mesir untuk mengajarkan agama tauhid iaitu agar menyembah Allah, Tuhan yang Maha Esa. Disamping baginda seorang nabi ia juga seorang raja dengan dasar pemerintahannya adalah Islam. Beliau wafat dalam usia 120 tahun dan dimakamkan ditepi sungai Nil

NABI AYYUB A.S

Anak Amus bin Tarikh bin Rum bin Ish yang diutuskan oleh Allah SWT ke negeri Rom untuk mengajarkan agama tauhid iaitu menyembah Allah SWT. Beliau wafat dalam usia lebih kurang 93 tahun dan dimakamkan di suatu tempat di daerah Itali.

NABI DZULKIFLI A.S

Adalah anak Nabi Ayub as. diutus oleh Allah SWT ke negeri Rom. Disamping beliau seorang nabi juga seorang raja yang tetap mengajarkan agama tauhid iaitu supaya menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Beliau menyeru kepada kaumnya supaya meninggalkan penyembahan berhala dan melaksanakan syariat Islam supaya solat dan membayar zakat. Beliau wafat dalam usia 95 tahun dan dimakamkan di Napoli, daerah Rom Selatan.

NABI SYUAIB A.S

Keturunan Nabi Luth as, diutus oleh Allah ke negeriá Madyan, Palastin Selatan agar mengajar agama tauhid iaitu menyembah Allah SWT. membayar zakat dan berlaku jujur kepada kaumnya. Ramai kaumnya yang tidak beriman, akhirnya ditimpa bencana daripada Allah berupa gempa bumi dan kepingan awan panas daripada langit.

NABI MUSA A.S

Diutus oleh Allah SWT kepada kaumnya Bani Israil supaya menyembah Allah, membayar zakat, berpuasa dan berlaku jujur. Bani Israil ramai yang ingkar sehingga mereka menyembah patung anak sapi yang dipelopori oleh Samiri. Nabi Musa as. mendapat kitab Taurat daripada Allah SWT dan diberi mukjizat.

NABI HARUN A.S

Diutus oleh Allah SWT kepada kaumnya Bani Israil supaya menyembah Allah, membayar zakat, berpuasa dan berlaku jujur. Bani Israil ramai yang ingkar sehingga mereka menyembah patung anak sapi yang dipelopori oleh Samiri. Nabi Musa as. mendapat kitab Taurat daripada Allah SWT dan diberi mukjizat.

NABI DAUD A.S

Dibekalkan oleh Allah dengan kitab Zabur mengajarkan kepada kaumnya agar menyembah Allah dan mengerjakan ibadah puasa. Nabi Daud as. wafat dalam usia lebih kurang 100 tahun, lalu dimakamkan di Palastin.

NABI SULAIMAN A.S

Adalah anak Nabi Daud as. Beliau seorang nabi dan raja. Nabi Sulaiman berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kepadanya kerajaan yang tidak akan diperolehi sesaorang pun sesudahnya. Doa beliau dikabulkan Allah, sehingga beliau dapat menguasai semua makhluk termasuk jin dan haiwan. Nabi Sulaiman mengajak semua kaumnya agar menyembah Allah dan menghindari daripada mensyirikkannya.

NABI ILYAS A.S

Merupakan keturunan Nabi Harun diutus Allah sebagai rasul di negeri Balbik di Lebanon Selatan kerana orang Balbik ramai yang telah menyembah berhala. Patung terbesar sembahan mereka bernama "Ba'al" dibuat dari emas. Nabi Ilyas as. mengajak kaumnya agar menyembah Allah SWT iaitu agama tauhid, namun ramai yang ingkar, sehingga kebanyakan mereka ditimpa musibah gempa yang dahsyat. Nabi Ilyas wafat dan dimakamkan di daerah Lebanon Selatan.

NABI ILYASA A.S

Diutus Allah SWT kepada Bani Israil, agar mengajarkan agama tauhid berdasarkan kitab Taurat dan kitab Zabur. Kerana kederhakaan dan pembangkangan mereka terhadap Allah dan Rasul-Nya akhirnya orang-orang yahudi dijajah oleh raja dari Babil bernama Nebukad Nezar. Kemudian Nebekud Nezar dikalahkan oleh Cyrus raja dari Persia. Pada tahun 70 Sebelum Masehi raja Rom bernama Titus memasuki Palastiná dan merosak seluruh kota Jerusalam, kecuali Baitul Maqdis. Begitulah bangsa Yahudi mendapat kutukan dan laknat daripada Allah dan Rasul-Nya sehingga bertebaranlah mereka ke seluruh pelosok, dikutuk dan dihina oleh bangsa-bangsa lain di dunia.

NABI YUNUS A.S

Keturunan Nabi Ya'kub as. diutus oleh Allah kepada bangsa Ninawa didaerah Mansul dalam kerajaan Babil. Beliau mengajak kaumnya agar menyembah Allah , namun ajakan beliau ditentang bahkan diejek. Akhirnya Nabi Yunus meninggalkan kaumnya dan berdoa kepada Allah agar diturunkan azab kepada mereka. Ketika tanda-tanda azab akan turun, maka seluruh penduduk mencari nabi Yunus kerana ingin bertaubat, namun nabi Yunus telah meneruskan pelayarannya. Mereka semuanya beriman kepada Allah serta menyesal kerana melawan Rasul Allah. Nabi Yunus diuji Allah ketika berada didalam perut ikan Nun. Setelah kembali ke Ninawa dilihatnya mereka semua telah beriman, maka nabi Yunus meneruskan dakwahnya, sehingga
negeri tersebut menjadi aman dan makmur.

NABI ZAKARIA A.S

Diutus kepada bangsa Yahudi, agar mereka menyembah Allah SWT, berlaku jujur, adil dengan memegang petunjuk yang ada dalam kitab Allah. Kemudian nabi Yahya dibunuh, kepala baginda dipenggal. Begitu juga dengan Nabi Zakaria dibunuh ketika itu juga. Kedua nabi tersebut telah mati syahid. Begitu sombong bangsa Yahudi sehingga hati mereka menjadi tertutup dalam menerima kebenaran. Hanya seksa Allah yang sesuai bagi mereka yang ingkar.

NABI YAHYA A.S

Diutus kepada bangsa Yahudi, agar mereka menyembah Allah SWT, berlaku jujur, adil dengan memegang petunjuk yang ada dalam kitab Allah. Kemudian nabi Yahya dibunuh, kepala baginda dipenggal. Begitu juga dengan Nabi Zakaria dibunuh ketika itu juga. Kedua nabi tersebut telah mati syahid. Begitu sombong bangsa Yahudi sehingga hati mereka menjadi tertutup dalam menerima kebenaran. Hanya seksa Allah yang sesuai bagi mereka yang ingkar.

NABI ISA A.S

Adalah insan yang lahir dari tubuh Maryam tanpa ayah, kemudian diangkat martabatnya menjadi nabi dan Rasul. Sedangkan Hawa dilahirkan dari tubuh Adam tanpa ibu di dalam syuga. Kemudian ditakdirkan oleh Allah SWT menjadi ibu dari seluruh umat manusia. Maka agar tidak keliru dalam beriman atau beriktikad,
Firman Allah SWT maksudnya:
"Sesungguhnya perbandingan kejadian Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti kejadian Nabi Adam, Allah telah menciptakan Adam dari tanah, lalu berfirman kepadanya: 'Jadilah engkau! maka menjadilah ia' ". (Ali Imran:59)
Nabi Isa as. diutus oleh Allah kepada kaumnya sendiri iaitu Bani Israil di daerah Palastin agar tetap taat kepada Allah SWT. Belaiu diberi kitab Injil yang melengkapi kitab Taurat dan Zabur. Segala firman Allah yang diwahyukan kepada beliau ditulis oleh pengikut-pengikutnya dengan tulisan Ibrani (Hebrew bahasa Ibrani Yahudi).
Dapatkah kita menemukan kembali kitab Injil peninggalan Nabi Isa as. itu? Untuk meyakinkan diri kita mari kita perhatikan ayat-ayat Allah dibawah ini:
Firman Allah SWT maksudnya:
"Ia menjawab: "Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab Injil dan ia telah menjadikan daku seorang Nabi". (Maryam:30)
Firman Allah SWT maksudnya:
"Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Dia, inilah jalan yang betul atau lurus". (Maryam:36)
Ayat-ayat diatas membuktikan dengan jelas bahawa Nabi Isa as. Hanyalah seorang nabi dan Rasul bukanlah sebagai anak Tuhan seperti yang didakwakan sesetengah pengikutnya. Kitab Injil yang asal dengan tegas dan jelas menyuruh para pengikutnya agar menyembah Allah semata tidak menyekutukannya dengan yang lain. Namun kebanyakan pengikut nabi Isa telah merubah Kitab Injil yang asli itu menurut selera mereka sendiri, maka lahirlah beratus-ratus kitab Injil bahkan beribu-ribu jumlahnya. Kerana terlalu keras tentangan kaumnya terhadap ajaran tauhid, bahkan beliau diancam akan dibunuh, maka nabi Isa dibawa hijrah oleh bondanya ke negeri Mesir selama 12 tahun. Kemudian berpindah lagi ke negeri Nazarth daerah Palastin. Di negeri ini beliau mulai ada pengikut yang membenarkan ajarannya iaitu Mengesakan Allah SWT. Di antara orang-orang Yahudi tersiar berita nabi Isa yang mempunyai ibu tanpa bapa itu sudah ditangkap oleh Yudas Iskariot, lalu diserahkan kepada penguasa Romawi, kemudian disalib di bukit Golgota. Ada pula yang berkata bukan Isa yang ditangkap tetapi Yudas kerana dia berkhianat. Sebahagian orang meyakinkan diri berkata bahawa bukan Nabi Isa, bukan Yudas tetapi orang lain yang serupa dengan benar dengan beliau. Nabi Isa sendiri selamat dari bencana malapetaka dunia. Sesungguhnyaá Allah telah mengangkatnya ke atas langit.
Memang banyak sekali pendapat manusia bahkan antara satu dengan yang lainnya bertentangan. Maka sebaiknya beriman sesuai dengan ketentuan didalam Al Quran. Firman Allah maksudnya:
"Demi sesungguhnya, telah kafirlah orang-orang yang berkata; bahawasanya Allah ialah Al Masih Ibni Maryam. Padahal Al Masih sendiri berkata: "Wahai Bani Israil, sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.
Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Tuhan Yang Maha Esa. Dan jika tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya".
(Al Maidah:72-73)

NABI MUHAMMAD S.A.W

Dilahirkan pada tahun 571 Masehi melalui perkahwinan Aminah dengan Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim. Baginda adalah keturunan Nabi Ismail as. bin Nabi Ibrahim as. Nabi Muhammad SAW adalah insan termulia melebihi tingkat dan darjat dari seluruh nabi-nabi dan umat manusia, bahkan seluruh makhluk-makhluk Allah SWT. Sebab itu Rasulullah (Nabi Muhammad SAW) bergelar "Rahmatan Lil Alamin". ertinya "Rahmat bagi seluruh alam".
Rasulullah diberi kitab Al Quran, diutus oleh Allah untuk seluruh bangsa di dunia ini. Seperti nabi-nabiá atau rasul-rasul Allah terdahulu baginda pun mengajar dan menyeru manusia supaya menyembah Allah. Nabi Muhammad SAW adalah penutup dari sekalian nabi dan rasul, jadi agama Allah yang diwahyukan semenjak nabi Adam secara bertahap-tahap lagi teratur dilengkapi dan disempurnakan Allah pada kenabian Muhammad SAW. Sebab itu tidak akan ada lagi nabi dan wahyu sesudah baginda. Bahkan dalam kitab-kitab yang sebelumnya menyatakan tentang kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai rasul yang terakhir. Dalam hal ini Nabi Isa as. sendiri menjelaskan kepada kaumnya tentang akan munculnya seorang nabi terakhir sesudahnya. Di dalam Al Quran dijelaskan ungkapan Nabi Isa as tersebut sebagai berikut.
Firman Allah SWT maksudnya:
"Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika nabi Isa Ibni Maryam berkata: Wahai Bani Israil sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama Ahmad. Maka tatkala ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: ini ialah sihir yang jelas nyata". (As Saaf:6)
Firman Allah SWT lagi maksudnya:
"Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu". (Al Ahzab:40)
Ini bermakna syariat Muhammad SAW adalah penyudah atau pelengkap atau 'Full Release Version' dalam menyempurnakan segala syariat nabi-nabi terdahulu dan sesuai menurut keperluan dan keadaan atau suasana manusia yang hidup di akhir zaman hinggalah ke hari Kiamat (D'day). Berdasarkan keterangan ini jelas menunjukan agama para rasul terdahulu adalah Islam kerana mereka menyeru manusia ke arah ketundukkan dan kepatuhan kepada segala yang diperintahkan oleh Allah SWT, sebagaimana juga nabi Muhammad SAW diperintahkan menyeru manusia ke arah
ketundukan dan kepatuhan kepada segala yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Related Posts with Thumbnails